Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengakui sokongan padu diberikan para penyokong terhadap pasukan menjadi antara faktor menarik minatnya untuk menyertai kelab tersebut.

Mengulas mengenai kehadirannya bagi memperkuatkan Kedah, Kalamullah menyimpan impian besar untuk membawa skuad kenari itu ke pentas final pada musim depan

“Syukur Alhamdulillah saya dapat bersama dengan Kedah pada tahun depan. Dengan pasukan yang mempunyai nama besar, penyokong yang ramai dan ini memberi pengalaman baharu buat diri saya sendiri.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk Kedah. Sebagai individu, saya juga ingin membawa Kedah ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia. Saya juga tidak pernah merasai lagi pengalaman beraksi di final.

“Ketika bermain dengan PJ City menentang Kedah, saya lihat ramai penyokong datang memberikan sokongan buat pasukan pada setiap perlawanan dan membuatkan saya bersemangat untuk ke sini.

“Kepada para penyokong, diharapkan dapat menerima kehadiran saya ke dalam pasukan. InsyaAllah kami satu pasukan akan membuatkan yang terbaik untuk pasukan Kedah,” ujar Kalamullah Al-Hafiz, 27, dalam video temubual di KDA FC.

Semalam, menerusi laman Facebook KDA FC, kelab itu secara rasminya  telah mengikat penjaga gol skuad kebangsaan itu bagi menghadapi musim baharu dengan kontrak selama dua tahun.

Kehadiran Kalamullah yang sebelum ini beraksi bersama PJ City FC bakal memberikan lebih banyak pilihan berkualiti buat jurulatih penjaga gol baharu, Mohd. Yazid Mohd Yassin kerana difahamkan Ifwat Akmal Chek Kassim turut dikekalkan. – MalaysiaGazette