Pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati – Fauziah Dato’ Ahmad Daud akan dipentaskan di Gateway Theatre Singapura pada 11 Februari 2023.

KUALA LUMPUR – Pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati – Fauziah Dato Ahmad Daud akan dipentaskan dalam bentuk muzikal menerusi elemen lakonan, nyanyian, tarian serta monolog di Gateway Theatre Singapura pada 11 Februari 2023 dalam mengangkat kisah hidup primadona filem itu.

Apa yang menarik, sebuah syarikat produksi Singapura iaitu DStar Managemement merupakan penerbit untuk muzikal tersebut.

Menerusi pementasan itu kelak, penonton berpeluang mengetahui sejarah kehidupan seniwati itu yang mula berlakon pada tahun 1973 menerusi filem Hati Batu ketika usianya, 11 tahun.

Namanya begitu besar kerana Fauziah atau lebih dikenali Ogy bukan sahaja berdiri sebagai seorang primadona tetapi juga begitu hebat sebagai pengacara dan kini mula bersandar di kerusi pengarah.

Teater muzikal ini juga akan membongkar apa yang dilaluinya bersama keluarga ketika zaman kejatuhan Shaw Brothers di Jalan Ampas dulu.

Perjalanan hidup Ogy akan dipentaskan dalam teater muzikal yang skripnya dihasilkan oleh SlenFadzil dan Zurina Waji manakala pelakon serta pensyarah seni persembahan berpengalaman, Che Kem diberi tanggungjawab mengarah pementasan ini.

Manakala, sentuhan dan skor muzik pula akan disempurnakan oleh pemuzik handalan Singapura, Mansor Mohamed dan guru vokal pula adalah Cikgu Siti Hajar Ismail.

Muzikal Wajah Rahsia Hati – Fauziah Dato’ Ahmad Daud turut menampilkan penyanyi undangan Gegar Vaganza 9, Fuad Rahman dan Hazrul Nizam.

Secara ringkasnya pementasan ini akan bercerita tentang seorang wanita berbakat yang dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 10 Oktober 1962.

Anak kelima daripada tujuh adik-beradik daripada berlainan ayah itu membesar di Boon Teck Road Singapura dan hidup dikelilingi bintang-bintang filem ternama era 1950-an dan 1960-an.

Ketika remaja, Ogy berjinak menjadi penari bersama kumpulan tarian ibunya, Saadiah Dancers. Ogy kemudian membintangi filem Permintaan Terakhir, Ceritaku Ceritamu dan kembali ke Singapura untuk menyanyi di Club 392, Orchard Road.

Peluang berlakon buat Ogy datang mencurah-curah dan antara filem lakonannya adalah Abang, Esok Untuk Siapa, Azura, Ali Setan, Suara Kekasih, Puteri, Bintang Malam, Langit Cinta hinggalah yang terbaharu, Pusaka.

Ogy juga pernah bergelar Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang pertama pada 1987. Dua kali dia pernah bergelar Aktres Terbaik iaitu melalui filem Ali Setan dan Puteri.

Bukan sahaja hebat sebagai pelakon, Ogy juga berjaya menjadi artis rakaman dan memiliki tiga album penuh iaitu Gerhana (1983), Pelayaranku (1989) dan Variasi (1991).

Antara lagu hit dendangannya adalah Simfoni Kasih, Wajah Rahsia Hati, Bila Bunga-Bunga Berguguran, Gerhana, Pelayaranku, Sandarkan pada Kenangan, Kisah Cinta dan Rela Menanti.

Bidang pengacaraan pula bukan asing lagi buatnya kerana namanya cukup menyerlah sebagai hos Melodi TV3 serta ABPBH. Dia juga pernah diundang sebagai pengkritik Akademi Fantasia (AF) dan kini mula mengarah beberapa filem pendek seperti Asrar serta Aidil & Atok.

Bagi peminat yang ingin menonton Muzikal Wajah Rahsia Hati pada 11 Februari depan, tiket-tiket yang disediakan berharga: CAT 1 = $148 (Meet & Greet), CAT2 = $108, CAT3 = $98 dan CAT4 = $78 dan boleh ditempah secara online di www.ticketmaster.sg mulai 13 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast