KEPIMPINAN Datuk Seri Anwar Ibrahim  cukup popular dan menjadi “daya tarikan”  masyarakat India di negara ini.

Mereka menaruh harapan yang tinggi terhadap pejuang reformasi itu untuk mereformasikan  dan mentransformasikan masa depan komuniti itu termasuklah memperkasakan lagi kuasa politik kaum India.

Anwar dilihat  sebagai  talian hayat dan  harapan terkahir mereka setelah komuniti itu  ‘dipermainkan’  untuk modal politik semata-mata  pada  setiap pilihan raya oleh parti- parti politik tertentu.

Justeru, PKR yang di bawah kepimpinanya Anwar semakin diyakini dan menjadi pilihan komuniti India termasuk generasi muda.

Hampir 42 % keahlian parti tu didominasi berbangsa India.  Malah hampir 33 ketua cabang juga terdiri daripada kaum yang sama. Nampak sangat ‘peralihan  politik’  dari Barisan Nasional (BN) ke PKR sejak 2007 sehingga sekarang.

Persoalanya, kenapa masyarakat India teruja sangat dengan Anwar?

Malah pelantikanya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 10  baru- baru ini disambut dengan cukup gemilang oleh komuniti itu di seluruh negara.

Ruangan media sosial  pula “bergegar”  dengan ucapan yang dan kata-kata sokongan, semangat  dan tahnniah kepada Anwar.

Memang  “luar biasa” dan hebat.  Itulah realiti yang sebenarnya.  Nambikei (harapan)  mereka cukup tinggi terhadap seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim.

Jarang sekali seseorang pemimpin politik “bukan India”  mendapat sokongan begitu kuat dengan penuh ikhlas daripada kaum India di negara ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bersama Masyarakat India di IDCC Shah Alam, Selangor.
AURA ANWAR IBRAHIM
Aura Anwar menjadi daya tarikan mereka. Perjalanan  dan  perjuangan politiknya yang cukup  perit, menderita dan menyeksakan sentiasa menjadi perhatian dan agak sukar dilupakan.
Begitulah reaksi seorang kawan penulis yang sudah lama menunggu Anwar naik jadi PM.
Begitu jugalah majoriti pandangan yang penulis  dengar, lihat dan memahaminya melalui suara hati kaum India di media sosial mahu pun juga peringkat akar umbi ketika sembang santai bersama mereka di beberapa kawasan di bandar dan luar bandar ketika musim kempen PRU15 baru – baru ini.

Masyarakat India melihat Anwar sebagai hero atau pun thalaivar  (ketua).  Mereka cukup fanatik denganya.  Malah penulis sendiri pernah mengambarkan situasi ini pada 2018 , empat tahun dulu.
Berikut adalah link tersebut; https://malaysiagazette.com/2018/10/12/90-peratus-undi-masyarakat-india-untuk-hero-mereka-anwar-ibrahim/

Apabila kita bercakap dan mengkaji peranan, penglibatan dan pengorbanan masyarakat India dalam landskap politik negara – walaupun komuniti ini dilihat sebagai kaum minoriti namun merekalah telah menjadi penyelamat untuk Barisan Nasional selama 60 tahun dulu sebelum kuasa Makkal Sakti  melalui gerakan Hindraf mengoncang arena politik negara pada tahun 2007.

Undi kaum India menjadi simpanan tetap untuk meraih kemenangan majoriti dua pertiga untuk BN .

Penulis tidak berminat cerita panjang mengenai  segala episod yang berlaku selepas itu. Tapi itulah sejarah yang telah mengemparkan arena politik negara.

Mengupas mengenai PRU15, Anwar diangkat sebagai poster boy calon PM untuk PH buat julung kalinya selepas gabungan itu berdepan dengan pelbagai cabaran politik  yang kritikal selepas Sheraton Move.

Tidak dinafikan rata-rataa masyarakat India hampa dan menyampah apa yang berlaku semasa PH selepas berjaya membentuk Malaysia Baru di PRU14.

Selama 22 bulan PH memerintah negara banyak juga isu hal ehwal komuniti India dilupakan dan tiada tindakan penyelesaian. Manifesto yang dirangka khas untuk komuniti itu pun hanya tinggal sebagai kenangan.

Kaum India hampir hilang kepercayaan terhadap gabungan itu namun mereka tetap bersatu hati menyokong PH demi faktor Anwar Ibrahim kerana percaya langkah ‘Sheraton’ telah mengagalkan segala – galanya.

Justeru itulah hampir 80 % undi masyarakat India di PRU15 memihak kepada PH. Mereka yakin dan percaya Anwar seorang sahajalah yang mampu dan berupaya  membawa perubahan untuk negara seterusnya menjamin harapan mereka khususnya dalam sektor ekonomi, sosial dan pendidikan dan sebagainya.

KUASA POLITIK 

Mereka juga mengharapkan ‘kuasa politik ‘ kaum India ‘ditambah nilai’ melalui ‘penambahan’ wakil kaum itu di kabinet atas dasar perkongsian kuasa secara adil dan saksama. Mereka mahu sesuatu kelainan kali ini. Mereka bukanya ‘menuntut atau mendesak’ tetapi pengorbanan kaum itu  perlu dihargai. Inilah masanya . Inilah detik yang sesuai untuk Anwar Ibrahim membalasnya .

Jangan sesekali lihat kaum India sebagai ‘kumpulan minoriti’. Mereka menjadi ‘pengerak dan pengempur ‘ untuk PH dan PKR untuk berkuasa hari ini.

Ketika Anwar mengumumkan barisan kabinetnya minggu lepas , besar jugalah harapan masyarakat India khususnya   wakil dari komuniti diberikan peluang yang ‘ adil’ dalam struktur pentadbiran kabinet negara berdasarkan mandat yang diberikan khususnya dari untuk wakil dari PKR.

Ramai juga yang kecewa dan hampa setelah mendengar pengumuman kabinet minggu lepas dimana hanya seorang sahaja wakil dari kaum itu dilantik sebagai Menteri iaitu YB Sivakumar dari DAP sebagai Menteri Sumber Manusia.

DATUK RAMANAN – PRABAKAN

Kenapa Anwar tidak ‘mengiktraf’  dan melantik mana- mana ahli Parlimen berbangsa India dari PKR sebagai menteri penuh sedangkan parti itu memiliki empat pemimpin muda yang menang iaitu Datuk R. Ramanan di Sungai Buloh, Prapakaran di Batu, Kesavan di Sungai Siput dan Yuhaneswaran di Segamat.

Ramanan menyingkirkan Khairy  Jamaluddin yang cukup ghairah dengan impianya mahu menjadi PM dalam tempoh masa 10 tahun.

Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan  yang dilihat sebagai calon underdog  bertukar menjadi giant killer di PRU15 untuk PKR dan juga PH.

Ramai juga yang membuat ‘pembacaan politik ‘yang separuh masak yang kononya Ramanan bukan tandingan KJ dan akan kalah teruk.  Akhirnya Ramanan berjaya menepis segala  cabaran untuk meraih kemenangan.

Ramai juga yang merasakan Ramanan perlu berada di kabinet atas beberapa faktor  termasuk  untuk memperkukuhkan lagi engagement politic bersama kaum India.

Begitu juga dengan Kesavan di Sungai Siput berjaya menyingkirkan Presiden MIC Tan Sri Vicknewsaran manakala Prapakaran yang menjadi Ahli Parlimen paling muda dengan mempertahankan kerusi Batu walaupun ramai menyangka Tian Chua yang bertanding sebagai calon bebas boleh ‘kacau daun ‘ di sana.

Mayarakarat India faham kuasa perlantikan ahli Kabinet kuasa mutlak Perdana Menteri. Mereka sedia memberikan masa yang secukupnya untuk  Anwar memimpin negara tetapi pada masa yang sama sebagai Presiden PKR beliau perlu membaca suara ahli  berbangsa India dari partinya sendiri.  Kalau tidak sekarang , bila lagi ?

Kita sama – sama tunggu berapa ramai wakil daripada kaum India yang bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam masa terdekat ini.

Penganalisis Politik, Datuk Anbumani Balan
* Datuk Anbumani Balan ialah Penganalisis Politik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast