Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson pada Ceramah Komuniti India di Ladang Siliau, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Hampir 90 peratus pengundi dalam kalangan masyarakat India seolah-olah sudah memberi isyarat bahawa mereka akan mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.

Ini terbukti apabila hampir saban hari golongan itu tidak kira tua atau muda mahupun kanak-kanak dilihat teruja dengan kehadiran Anwar u di setiap pelosok Port Dickson malah hampir setiap malam dilihat menari dan berinteraksi dengan masyarakat India.

Setiap program yang diadakan khas untuk pengundi India juga dikatakan sentiasa sesak dengan kehadiran mereka malah MalaysiaGazette turut difahamkan seorang nenek berusia 73 tahun sanggup berjalan sehingga lima kilometer semata-mata mahu bertemu dengan Anwar Ibrahim.

Malah beberapa hari lepas, sebuah badan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mendedahkan pengundi India bakal menjadi penentu atau ‘kingmaker’ bagi kemenangan besar Anwar.

Namun kaji selidik IDE mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk calon bertanding kerana ianya seperti sangat berat sebelah namun pada masa yang sama, Anwar di lihat jauh lebih agresif berbanding mereka.

Tidak cukup dengan, kita dikejutkan pula dengan sokongan tidak berbelah bahagi oleh pelakon tersohor India, Padma Shri Kamal Hassan semalam apabila ‘mengangkat’ Anwar sebagai pemimpin hebat.

Kamal Haasan menerusi rakaman video secara terbuka menyatakan sokongan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu dengan berkata, Anwar bukan sahaja pemimpin berkelas dunia malah dirinya mampu meneraju negara ke peringkat jauh lebih tinggi.

Rata-rata pengundi India seramai hampir 17,000 dengan sejumlah besar daripada mereka tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut dan Chuah, iaitu dua daripada lima DUN di bawah Port Dickson.

Dengan berbekalkan sentimen bakal Perdana Menteri, Anwar dikatakan sudah mendapat sokongan pengundi India apatah lagi pelbagai isu termasuk pendidikan, sosio ekonomi terutamanya membabitkan belenggu kemiskinan masih menghantui mereka.

Seandainya Anwar menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun akan datang ini, warga India di Port Dickson bukan sahaja bangga malah yakin setiap permasalahan yang telah diutarakan oleh mereka kepada beliau akan mendapat perhatian dan keadilan.

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan turut berpendapat Anwar akan mendapat mandat besar dalam kalangan masyarakat India khasnya di Port Dickson sebagai pemimpin bagi memperjuangkan kebajikan mereka.

Anbumani Balan

“Pengundi di Port Dickson melihat dan menerima Anwar sebagai ‘hero’ mereka, sama seperti watak-watak penting dalam filem Tamil seperti MGR dan Rajinikanth yang sentiasa memperjuangkan kepentingan masyarakat ini.

“Mereka juga sebenarnya sangat teruja dengan penampilan, karektor serta pendekatan secara santai yang memperlihatkan sifat keikhlasan secara telus Anwar bertemu dengan rakyat sebelum ini.

“Rata-rata masyarakat India khasnya pengundi Port Dickson juga sudah sinonim dengan nama Anwar yang sudah lama menjadi ‘mangsa politik’ sejak bertahun-tahun namun semangat kental untuk terus bangkit.

“Kini mereka sudah bersedia untuk memberikan mandat yang kuat untuk Anwar ‘muncul semula’memperkasakan lagi suara rakyat di Parlimen sebagai wakil rakyat mewakili semua kaum dalam era Malaysia Baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Walaupun sebelum ini ada juga pandangan bahawa bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang merupakan calon bebas juga telah banyak ‘berjasa’ dengan pengundi India namun Anwar adalah harapan untuk pembaharuan yang lebih baik.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Mohd Isa, Anwar yang mewakili Pakatan Harapan, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

MGF05102018_MALAM KEBUDAYAAN INDIA02
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra dengan masyarakat india pada majlis Malam Kebudayaan India sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2018.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – Malaysia Gazette