Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) menghormati gesaan Ketua Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin agar parti menilai semula keanggotaannya dalam GTA.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, perlu diingat gabungan itu adalah cetusan idea dan diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Pengerusi Pejuang itu yang menjemput tiga parti iaitu Putra, Berjasa, Parti Iman, pemimpin NGO dan orang perseorangan yang berpengaruh untuk sama-sama bergabung di bawah GTA.

Katanya, gabungan itu bertujuan untuk menyelamatkan masa depan orang Melayu dan pribumi, di samping mempertahan nilai perpaduan negara yang telah terbentuk sejak merdeka.

“Untuk langkah ke hadapan, mana-mana parti dalam GTA terbuka membuat keputusan sama ada tidak bersama atau mendapatkan tempat yang lebih kukuh untuk berpaut bagi kelangsungan parti masing-masing.

“Kita sejak awal lagi turut menghadapi kesukaran ini dengan pelbagai gesaan dan saranan datang dari akar umbi.

“Namun, Pemuda GTA yakin keputusan meneruskan kerjasama ini walaupun pahit untuk ditelan, menjadikan ia kekuatan bagi usaha mendapatkan kelulusan dan kerjasama ini diteruskan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Abu Hafiz dalam kenyataannya menggesa pucuk pimpinan parti menilai semula penyertaan dalam gabungan GTA susulan kekalahan teruk dialaminya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Beliau dilaporkan berkata, parti itu perlu mempertimbangkan menyertai gabungan politik lain, dengan mengambil kira jajaran baharu pasca PRU15.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan yang juga Ketua Wira Putra berkata, kekalahan pertama kali gabungan itu selepas satu setengah bulan bekerjasama masih awal untuk dijadikan panduan dalam sebarang analisa dan pembuatan keputusan.

Namun, kata beliau, Pemuda GTA yakin keutamaan dalam merangka strategi pada masa depan yang lebih utuh akan dapat menambah baik kerjasama itu, di samping memanfaatkan segala kemahiran, kefahaman mengenai jati diri, semangat juang dan prinsip yang ingin diterapkan dalam GTA.

Ini supaya orang Melayu dan pribumi ada tempat untuk bergantung harap dalam memperjuangkan nasib mereka pada masa depan.

Justeru, ujarnya, Pemuda GTA yang terdiri daripada pemimpin pemuda parti komponen lain dan orang perseorangan positif untuk terus memberi komitmen dan akur dengan keputusan jemaah Majlis Tertinggi GTA.

“Kepentingan melindungi prinsip, istiqamah dan ketegasan dalam mempertahankan agenda orang Melayu serta pribumi diharapkan terus menjadi pegangan utama kepada semua kepimpinan dan akar umbi GTA serta terus bersiap sedia memberi saingan sengit pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast