Majlis penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Ascott Malaysia (Ascott) di EduCity Iskandar di Johor, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Program PERANTIS Iskandar bakal menawarkan latihan dan peluang pekerjaan kepada 395 pencari kerja yang terjejas ketika pandemik Covid-19 di Iskandar Puteri, Johor.

Pengarah Operasi EduCity Iskandar, Prof Dr Sakina Sofia Baharom berkata, kumpulan pencari kerja itu berusia antara 18 hingga 35 tahun adalah antara golongan yang gagal mendapatkan pekerjaan sebelum ini.

Beliau berkata, Program PERANTIS Iskandar menjadi platform bagi menjejaki golongan berkenaan untuk menjalani latihan dan mengisi kekosongan pekerjaan dalam pelbagai industri.

Menurutnya, program itu mampu meningkatkan kemahiran pencari kerja dan kebolehpasaran apabila modul latihan disediakan mengikut keperluan pasaran pekerjaan yang merangkumi latihan bagi sektor industri minyak dan gas, data, pendidikan, automotif, kejuruteraan dan hospitaliti.

“Kami menjalin kerjasama dengan 20 syarikat sejak setahun lalu yang bersedia menawarkan pekerjaan selepas pencari kerja selesai menjalani latihan selama lima bulan.

“Selain penduduk Johor, program ini juga menerima sambutan daripada penduduk di seluruh negara,” katanya selepas majlis penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Ascott Malaysia (Ascott) baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar Negara Ascott bagi Malaysia, Mondi Mecja.

Sementara itu, Mondi berkata, pihaknya menawarkan peluang pekerjaan kepada 20 pencari kerja yang akan menjalani latihan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, MoU antara EduCity Iskandar dan Ascott Malaysia adalah kolaborasi julung kali dan kumpulan pencari kerja itu akan ditawarkan program latihan sebelum diserap dalam pekerjaan terutama di bidang hospitaliti.

Katanya, pihaknya yakin bakat yang sesuai dapat mengisi kekosongan pekerjaan di hotel di bawah rangkaian Ascott di bandar raya ini selaras perkembangan syarikat itu di pasaran.

“Menjadi sebahagian daripada CapitaLand iaitu kumpulan hartanah terbesar di Asia, Ascott juga beroperasi di Amerika, Eropah dan Asia Pasifik.

“Antara kunci tumpuan kami adalah membangunkan kecekapan dalam pelbagai pengurusan berasaskan bakat global dan sudah pasti pencari kerja dalam kalangan B40 menjadi antara sasaran utama kami.

“Menerusi program pengambilan pekerjaan dan pembangunan, kita membangunkan lebih banyak bakat tempatan untuk menerajui perniagaan di luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette