shaiful hazizy
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin kekalahan itu perlu dijadikan iktibar untuk menilai semula segala kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi berkesan seterusnya kembali bangkit untuk meraih kepercayaan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada tahun hadapan.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk kita menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi di antara rakan parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dapat dimaksimumkan.

“Kekalahan di Padang Serai bukanlah indikator terbaik untuk merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kerana di DUN Tioman kerjasama PH-BN ini telah berjaya menzahirkan kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada pilihan raya Parlimen Padang Serai, calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, pengumuman kerjasama antara BN dan PH agar lewat dan faktor itu turut menyumbang kepada kekeliruan antara pengundi di kawasan tersebut.

“Pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat dan ini mungkin menjadi faktor pengundi terkeliru dan tidak mendapat maklumat yang menyeluruh mengenai kerjasama PH-BN ini. Ditambah dengan gelombang yang ditiup oleh pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu fokus kepada PRN Kedah yang akan berlangsung tahun hadapan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti di dalam Kerajaan Perpaduan, InshaAllah angin perubahan mampu dilakukan di negeri Kedah ini pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast