Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia 2022 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Para penggiat industri francais di negara ini diminta menyokong usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab francais Asia Tenggara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof  yakin dengan komitmen semua pihak industri berkenaan di Malaysia akan mencipta sejarah lebih cemerlang.

“Saya yakin industri ini akan terus memberi sumbangan yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara dengan unjuran nilai jualan sehingga RM25 bilion pada masa akan datang hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, sasaran ini tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dan sokongan daripada semua pihak termasuk penggiat industri francais,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Anugerah Francais 2022 di sini hari ini.

Majlis tersebut merupakan anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurut Azman lagi, beliau dimaklumkan pertumbuhan industri francais negara semakin berkembang dan penglibatan usahawan tempatan dalam bidang perniagaan itu juga semakin menggalakkan.

Katanya, kementerian telah mengambil inisiatif dengan
melancarkan sistem pendaftaran francais secara online iaitu MyFex 2.0 bagi mengawal selia pendaftaran francais selaras dengan perubahan teknologi digital serta meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada industri francais.

Sistem terbaharu itu, katanya, turut dipastikan selaras dengan pindaan Akta Francais 1998 yang telah diwartakan pada 28 April 2022.

“Sehingga kini, industri ini masih didominasi oleh sektor minuman dan makanan dan diikuti dengan sektor perkhidmatan penyelenggaraan serta pendidikan dan perkembangan kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, kerajaan juga akan sentiasa berusaha untuk meletakkan industri francais sebagai sektor utama yang memberi impak yang tinggi bukan sahaja daripada segi pembangunan keusahawanan, menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi nilai tambah kepada pengguna malah lebih jauh daripada itu.

Tambahnya, kerajaan ingin memastikan industri francais akan menjadi salah satu sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Pembangunan keusahawanan merupakan salah satu pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara,” katanya.

Kerajaan komited dalam meneruskan serta mempertingkatkan aktiviti serta program pembangunan francais negara melalui Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP), program-program domestik seperti Franchise Bay, Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik (F3M), bantuan kewangan, advokasi, latihan perniagaan dan webinar.

Pada majlis makan malam itu, Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) dianugerahkan sebagai Francais terbaik 2022 (MAF 2022).

Marrybrown turut merangkul Anugerah Francaisor Terbaik bersama dua jenama lain iaitu Cambridge English For Life Sdn Bhd dan Ayam Penyet Bagus Sdn Bhd (Ayam Penyet Best). – MalaysiaGazette