Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Kategori Penjaga Gol Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) bakal memperlihatkan pemenang baharu selepas ketiadaan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang mengungguli anugerah ini sejak empat musim lalu.

Peluang sama rata bagi ketiga-tiga calon yang disenarai pendek iaitu membabitkan Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC), Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) untuk muncul pemenang bagi musim ini.

Bagi Kalamullah, beliau sedikit terkejut apabila namanya sekali lagi tersenarai buat musim ketiga berturut-turut sebagai calon kategori penjaga gol terbaik.

Ini berikutan saingan yang agak sengit dari penjaga gol pasukan-pasukan lain selain mengakui kurang berpuas hati dengan prestasinya musim ini.

“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk menang kerana berasakan prestasi sepanjang musim ini tidak begitu memuaskan.

“Tercalon dalam tiga terbaik sudah buat saya gembira dan semuanya bergantung kepada rezeki untuk menang memandangkan saingan yang agak hebat dari dua calon lain.

“Rahadiazli seorang penjaga gol muda yang begitu berbakat manakala Syihan persembahannya begitu cemerlang dengan Negeri Sembilan selain mula mendapat tempat di skuad kebangsaan.

“Namun, saya mahu dedikasikan pencalonan ini kepada bekas pasukan, PJ City yang telah memberi ruang kepada saya untuk beraksi selama empat musim.

“Tanpa sokongan pengurusan PJ City, siapalah saya dan mungkin saya tidak berada seperti hari ini,” katanya.

Seorang lagi calon, Rahadiazli, gembira apabila tersenarai dalam kalangan tiga terbaik dan menganggap itu sebagai satu simbol kepada usaha kerasnya yang bangkit daripada kecederaan Anterior Cruaciate Ligament(ACL).

“Berada dalam kalangan tiga terbaik buat pertama kali sudah sangat memggembirakan dan ini sudah dianggap satu anugerah untuk diri ini selepas berehat panjang musim lalu.

“Alhamdulilah, saya kembali diberi ruang untuk bermain dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Bagaimanapun, saya sedikit terkilan bagi musim ini kerana tidak dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi pulang ke bumi Terengganu dan harap saya terus belajar untuk jadi yang terbaik,” katanya.

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada 15 Disember ini pukul 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast