MPKB-BRI menangguhkan tindakan mengunci tayar kenderaan sehingga peguamnya memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes itu di Mahkamah Persekutuan.

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akur dengan keputusan mahkamah yang undang-undang kunci tayar kenderaan di bandar itu tidak sah kerana bertentangan dengan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Yang Dipertuannya, Rosnazli Amin mengarahkan tindakan mengunci tayar kenderaan di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 ditangguhkan berkuat kuasa serta merta.

Katanya, penangguhan itu dibuat sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian selari dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan peraturan tersebut tidak sah.

“MPKB-BRI akur dengan keputusan itu dan menangguhkannya sementara sehingga peguam kami, Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes itu.

“Selepas itu kita akan membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan undang-undang kunci tayar dikuat kuasa MPKB-BRI tidak sah kerana bertentangan Akta APJ (Akta 333).

Panel tiga hakim melibatkan Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Hashim dilaporkan berkata, ia susulan Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra vires atau melampaui Seksyen 72(7) APJ 1987.

Bagaimanapun, Perintah 8 di bawah perintah sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan parkir kereta.

Keputusan itu diputuskan berdasarkan kes yang difailkan seorang kerani, Nursyafawati Kasim, 33, selepas keretanya dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu pada tiga tahun lalu.

Sebelum ini, orang awam menggesa MPKB-BRI memberi kelonggaran peraturan meletak kenderaan di bandar itu selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan. – MalaysiaGazette