Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memyambut baik pelantikan ahli Parlimen termasuk PKR bagi mengisi jawatan timbalan menteri.

Kata beliau, tidak timbul soal berapa jumlah ahli Parlimen PKR, Amanah, DAP atau Barisan Nasional (BN) mendapat jawatan kerana yang penting ialah kualiti bukan kuantiti.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menilai pelbagai aspek sebelum melantik ahli-ahli Parlimen dalam Kabinet pimpinannya.

“Inilah kebijaksanaan Perdana Menteri. Banyak aspek beliau ambil kira terutama kualiti kerja. Saya ucap tahniah kepada semua yang dilantik dan yakin mereka mempunyai kepakaran dalam kementerian masing-masing,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Worldwide Holdings dengan Dynac Sdn. Bhd di sebuah hotel dekat sini malam ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dynac, Datuk Md. Jasman Bongkek.

Anwar malam ini mengumumkan senarai 27 orang timbalan menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet yang dibentuk pada 2 Disember lalu.

Menurut Amirudin, apa yang dilakukan Anwar dianggap adil dan saksama sesuai dengan Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan banyak gabungan parti.

“Kena ingat, ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan banyak parti. Jadi, pelantikan ini sangat adil,” katanya. – MalaysiaGazette