PUTRAJAYA – Pemimpin-pemimpin politik dinasihatkan agar kembali kepada agama dengan memperingati Allah serta mengelak diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan perpecahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, berpegang kepada tali Allah dan berpesan-pesan adalah lebih baik dalam usaha memastikan umat Islam akan terus bersatu.
“Kita orang Islam yang beriman kepada Allah S.W.T dan al-Quran itu menjadi pegangan kita. Sudah tentu jelas dalam al-Quran menyebut supaya kita jangan berpecah belah hanya disebabkan oleh pandangan politik dan sebagaimana yang boleh menyebabkan kita berpecah belah.
“Jadi, kalau kita benar-benar orang Islam yang beriman sudah tentu kita kena berpegang untuk kita bersatu memastikan supaya Islam ini dimartabatkan,” katanya pada sidang media selepas Program Jualan Rakyat Penjawat Awam, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkembangan politik negara apabila masih terdapat pemimpin parti yang tidak “sudah-sudah” bermain politik meskipun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berlalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Naim ketika ditanya sama ada akan berlaku pertukaran jawatan pimpinan tertinggi di peringkat agensi bawah jabatannya seperti di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), beliau memberitahu, perkara itu masih lagi dalam pertimbangannya.
Katanya, ketika ini beliau bertumpu kepada usaha untuk bertemu Sultan dan Raja-Raja di setiap negeri selain mendengar taklimat daripada ketua-ketua agensi di bawah jabatannya.
Tambahnya, beliau juga sedang memahami bidang tugasnya sebelum boleh membuat sebarang keputusan dan hala tuju jabatan yang diterajuinya itu.
Untuk rekod, YADIM pada masa ini dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan yang sebelum itu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz. – MalaysiaGazette