Hamisan Kalip (tengah) menunjukkan dapur elektrik yang dirampas pihaknya pada sidang media di Kompleks Kastam Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Pengarah sebuah syarikat tempatan ditahan selepas membuat pengikraran palsu bagi mendapat pengecualian cukai penuh mengimport dapur elektrik bernilai RM1.2 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, tindakan suspek berusia 54 tahun itu terbongkar selepas pihaknya memeriksa sebuah kontena yang membawa kepada penemuan 1,300 dapur elektrik di Pangkalan Kontena Butterworth di sini pada 21 Oktober lalu.

“Siasatan mendapati syarikat berpangkalan di Seberang Perai Tengah itu mengimport barang dagangan tersebut dari China.

Hamisan Kalip

“Kesemua dapur elektrik yang dirampas itu bernilai RM910,000 manakala cukai pula RM291,200 yang mana kesemuanya berjumlah RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan negeri di Perai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hamisan berkata, modus operandi digunakan syarikat tersebut adalah dengan membuat pengikraran palsu pada borang kastam.

“Mereka mengikrar dagangan sebagai 32 bahagian berbeza periuk aruhan belum siap dipasang yang mana item diikrarkan itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta tidak memerlukan lesen import.

“Siasatan lanjut masih dijalankan manakala pengarah syarikat yang ditahan itu telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette