Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menyempurnakan gimik pelancaran pada Program Jualan Rakyat Penjawat Awam Putrajaya di Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan umat Islam merupakan misi bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar di bawah kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, Islam perlu dimartabatkan dan diletakkan pada kedudukan yang baik supaya agama itu dapat dizahirkan dalam kalangan rakyat.

“Bagi memastikan Islam terus dimartabatkan, saya mengajak semua ketua-ketua agensi untuk bekerjasama dalam merealisasikan hasrat yang ingin dijayakan ini.

“Oleh kerana agama Islam merupakan kuasa di bawah negeri berdasarkan perlembagaan jelas menunjukkan agama berada di bawah kuasa negeri khususnya sultan-sultan yang merupakan raja pemerintah yang bertanggungjawab menjaga syiar Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program Jualan Rakyat Penjawat Awam di bangunan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Mohd Na’im berkata, dalam konteks itu peranannya sebagai menteri dan rakan-rakan di peringkat agensi Persekutuan perlu memahami kuasa tersebut.

Ujarnya, kita perlu mengetahui dasar dan kedudukan Islam itu dan atas prinsip itu semua pihak perlu bekerjasama ke arah kebaikan.

“Sebagai agensi di peringkat Persekutuan kita perlu bekerjasama dan mengiktiraf kuasa sebenar di bawah kuasa sultan dan raja-raja di peringkat negeri kearah kebaikan yang memberi manfaat kepada Islam serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, segala dasar yang diperkenalkan di peringkat Hal Ehwal Agama akan diteruskan demi kebaikan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Tambahnya, beliau juga akan meneruskan cadangan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) kerana ia adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan Islam dan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini. – MalaysiaGazette