Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (tengah) bersama Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (hadapan, dua kiri) bergambar kenangan dengan warga kerja kementerian ketika mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan menggunakan data dan statistik yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk membantu kerajaan membuat keputusan tepat.

Menurut Rafizi, dengan kekangan kewangan yang dihadapi negara, angka dan data yang dikumpul oleh DOSM amat berguna kepada agensi dan pemimpin kerajaan membuat perancangan yang lebih teliti.

Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan perlu dipastikan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Ia hanya boleh dilakukan sekiranya negara mempunyai fungsi statistik data yang betul-betul pada kelas yang tersendiri.

Beliau berkata, maklumat yang dikumpulkan oleh DOSM tidak akan bermakna jika tidak tidak digunakan sepenuhnya.

“Yang mana dengan kekangan kewangan yang bukan sahaja negara kita hadapi tetapi di negara lain, maksudnya sumber yang terhad itu perlulah dipastikan sampai sebaik mungkin kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Kalau dulu perangkaan untuk memantau prestasi tetapi dunia telah berubah yang mana data itu diperlukan kerana ia menentukan baik buruk bantuan dan peluang yang diberikan kepada orang biasa.

“Sebahagian besar keputusan itu boleh kita unjurkan dan ramalkan dengan ketepatan pada peratusan (data) ini,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan kakitangan DOSM ketika membuat lawatan ke jabatan itu hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Rafizi berkata, data kini dianggap sebagai emas oleh pelbagai pihak kerana ia amat berharga dan bermakna.

Beliau berharap dapat mengangkat dan meletakan peranan statistik dan data sebagai pusat untuk kerajaan membuat keputusan dalam tempoh lima tahun.

“Saya melihat fungsi statistik banyak peluang yang sangat baik yang boleh membantu kerajaan dalam keadaan yang begitu kritikal.

“Tapi pada masa sama mengangkat fungsi dan peranan data dan statistik penting sebagai sebahagian usaha untuk membantu terutama rakyat biasa dari segi kerjaya, peluang dan bantuan yang lebih tepat dan sebagainya.

“Sudah tentu roadmap akan jadi lebih rumit berkaitan dengan soal keupayaan, kebolehan teknikal, sistem dan kemampuan,” kata Rafizi.

Serentak itu Rafizi berharap semua kakitangan DOSM dapat bergerak seiringan dengan beliau.

Perjalanan itu tidak mudah, tidak selesa dan banyak perkara baru yang perlu dipelajari, ujarnya.

Namun transformasi yang akan dihasilkan akan membawa kesan sangat besar kepada rakyat dan negara, katanya. -MalaysiaGazette