KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap Proton Holdings Bhd. dapat memajukan projek kereta elektrik seterusnya mengeluarkan kenderaan jenis itu pada masa akan datang.
Menurut beliau, di kebanyakan negara luar, kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta elektrik yang dilihat bakal menjadi pilihan pada masa depan kerana ia kurang mencemarkan alam sekitar.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara.
“Kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara. Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itu pun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan.
“Sementara itu, untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta elektrik masih menjadi pilihan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Dr. Mahathir turut memberitahu tentang kereta elektrik Polestar 2 keluaran Geely yang diperkenalkan oleh DRB-Hicom kepadanya pagi tadi.
Beliau difahamkan, kereta tersebut boleh mencapai jarak 400 kilometer dengan sekali cas yang mengambil masa antara dua hingga tujuh jam untuk memenuhkan kapasiti bateri.
“Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1,000 stesen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja,” jelasnya.
Dr. Mahathir berpandangan, Polestar 2 mempunyai reka bentuk yang canggih dan tidak mempunyai tempat menyimpan enjin yang besar.
Sebaliknya, kata beliau, ruang itu dijadikan sebagai tempat menyimpan barang.
“Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di papan pemuka seperti kereta biasa,” katanya. – MalaysiaGazette