Gambar hiasan

KUANTAN – Seramai 399 mangsa banjir daripada 118  keluarga di negeri ini berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tiga daerah di Bera, Lipis, dan Temerloh sehingga petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding 109 keluarga melibatkan 364 mangsa banjir pada tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Pahang, seramai 303 mangsa daripada 83 keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan, Temerloh.

“Manakala di Lipis pula, seramai 79 mangsa melibatkan 26 keluarga ditempatkan di dua buah PPS di PPS Lubuk Kulit dan PPS Masjid Beletik, Lipis.

“Di Bera, sebuah PPS masih dibuka bagi menampung 17 mangsa banjir membabitkan empat keluarga PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kuantan pula mendapati hujan lebat bemula tengah hari tadi sehingga petang ini.

Sementara itu, paras air beberapa sungai utama paras air juga menaik.

Paras air Sungai Semantan, Temerloh kini setinggi 35.15 meter; Dungai Serting, Bera (31.17m); Sungai Pahang di kawasan Lubuk Paku, Maran 17.87; dan Sungai Luit, Maran (27.14m)

Hujan diramalkan di semua tempat di daerah ini, disusuli ramalan ribut petir pada pagi dan malam esok. – MalaysiaGazettte