NIBONG TEBAL – Pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan pendidikan negara ke arah lebih baik akan diumumkan dalam satu sidang media khas minggu depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini dalam proses mendengar pandangan, kritikan serta konsultasi berkaitan isu-isu pendidikan.
Kata beliau, semua pandangan itu akan ditelitikan sebelum beliau mengambil langkah penting dalam KPM.
“Kita sedang meneliti beberapa perkara termasuk mendengar pandangan, kritikan serta mendapatkan konsultasi berkaitan isu pendidikan negara.
“Bagi saya konsultasi sangat penting kerana pasukan KPM ini antara terbesar di Malaysia jadi pandangan Ketua Setiausaha (KSU) serta pemegang taruh pendidikan iaitu ibu bapa, guru dan kanak-kanak sendiri akan saya perincikan nanti.
“Sehubungan itu, satu sidang media khas akan diadakan minggu depan untuk menyatakan pendirian KPM berkaitan pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Khatan Perdana Kadun Jawi di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying atas pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
“Saya serta seluruh warga KPM mengalu-alukan kedatangan beliau (Hui Ying) dan saya fikir ini adalah satu lagi langkah untuk memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette