Asyraf dalam majlis perjumpaan dan doa selamat bersama jentera BN Parlimen Gerik dan DUN Temengor.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan tetap meneruskan perjuangannya dalam parti walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perjuangan tetap diteruskan. Menang kalah adat perjuangan, tidak sedikit pun melunturkan semangat saya untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan ummah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah berusaha bertungkus-lumus, berkorban waktu dan tenaga bekerja sehabis baik bagi memenangkan parti dalam PRU lalu.

“Saya amat hargai dan semoga Allah membalas jasa baik kalian semua,” katanya pada majlis perjumpaan dan doa selamat bersama jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik dan DUN Temengor yang dikongsikan menerusi Facebooknya.

Asyraf Wajdi dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di kerusi Parlimen Gerik tetapi kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.

Dalam pertandingan itu, beliau mendapat 13,728 undi, manakala Fathul Huzir mendapat 15,105 undi dan calon Pakatan Harapan, Mohd Tarmizi Mohd Jam memperoleh 5,779 undi.

Selaku calon baharu yang ditampilkan BN, beliau gagal mempertahankan kerusi yang sebelum ini adalah kubu kuat UMNO. – MalaysiaGazette