Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengemukakan surat peletakan jawatan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi Parti Pejuang Tanah Air dalam Pilihan Raya Umum ke (PRU15) baru-baru ini.

“Semoga kepimpinan baharu sayap pemuda Pejuang mampu mengemudi sayap parti itu dengan lebih baik dan cemerlang.

“Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan buat Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan utama parti Pejuang dan teman kepimpinan sayap atas kepercayaan bagi menggalas amanah sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia.

“Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, Insha-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, Abu Hafiz dalam kenyataannya menggesa pucuk pimpinan parti menilai semula penyertaan Pejuang dalam Gerakan Tanah Air (GTA) susulan kekalahan teruk dialami parti itu pada PRU15.

Beliau dilaporkan berkata, Pejuang perlu mempertimbangkan menyertai gabungan politik lain sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahu pun Barisan Nasional (BN) dengan mengambil kira jajaran baharu pasca PRU15.

Bagaimanapun, kenyataan itu dijawab Ketua Pemuda GTA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang menghormati gesaan beliau agar parti menilai semula keanggotaannya dalam GTA.

Namun beliau diingatkan bahawa gabungan itu adalah cetusan idea dan diasaskan Tun Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette