Gambar hiasan.

GOMBAK – Bahana mengugut bekas kekasihnya yang menolak pelawaanya untuk keluar, seorang lelaki yang mengancam mahu menyebarkan video hubungan intim mereka akhirnya menerima padah.

Suspek yang juga seorang pempengaruh sosial diberkas, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir.

“Bertindak atas laporan mangsa, kami telah melakukan satu serbuan sebelum membuat tangkapan ke atas suspek pada 9 Disember lalu.

“Suspek merupakan warga tempatan berusia 22 tahun disyaki terlibat dalam ugutan jenayah terhadap wanita bekas kekasihnya yang sedang disiasat polis.

“Suspek kemudian telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dan telah mendapat perintah tahan reman selama empat hari sehingga 13 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menurut Noor Ariffin, polis telah menerima laporan polis daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun pada 7 Disember lalu.

Katanya, dalam laporan polis itu mangsa mendakwa dia telah diugut oleh bekas teman lelakinya.

“Siasatan awal yang dijalankan ke atas aduan mangsa mendapati pengadu mengenali suspek lelaki tempatan sejak 2020 lagi.

“Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu suspek telah menghantar pesanan melalui WhatsApp dan mengajak pengadu dating pada pukul 11 malam.

“Namun pengadu menolak ajakan suspek itu dan apabila lelaki berkenaan didakwa mengugut pengadu mahu menyebarkan video intim mereka bersama di media sosial.

Katanya, pengadu terkejut, merasa takut dan tertekan dengan ugutan suspek dan kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan ugutan jenayah sehingga menyebabkan ketakutan terhadap mangsa.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ikon sukan permotoran disyaki ugut sebar gambar lucah bekas kekasih