PN PRN
Eddin Syazlee Shith (lapan dari kiri), Rafiei Mustapha (tujuh dari kiri) dan Nazree Yunus (sembilan dari kiri) bersama wakil-wakil cawangan yang menyerahkan borang penubuhan cawangan Bersatu dan keahlian di Senawang, malam tadi.

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang bagi membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, pihaknya perlu memenangi sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap lapan kawasan Parlimen.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti punca beberapa kelemahan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kalau ini dapat diperbaiki, saya melihat bukan satu perkara yang mustahil untuk PN mempunyai kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan.

“Kalau perkara-perkara dan kelemahan itu dapat diatasi secara sistematik dan perancangan yang lebih teliti peluang untuk PN di Negeri Sembilan adalah besar terutamanya berdasarkan perkembangan terkini dalam negara yang memberi penerimaan bercampur-campur antara pengundi yang mengundi pada PRU-15.

“Macam-macam komen tunjuk tidak puas hati atas apa yang berlaku, ini satu peluang yang kita terima sebagai tanda yang cukup positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan kepada jentera PN Bahagian Rembau di Senawang dekat sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha dan Setiausaha, Nazree Yunus.

Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan majoriti mudah 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Eddin Syazlee menambah, PN banyak belajar dari kesilapan pada PRU-15 dan beliau berharap momentum yang dibina dapat dikekalkan pada PRN supaya mereka lebih bersedia berdepan parti-parti lawan.

Beliau juga yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh jentera PN di bahagian-bahagian bahawa mereka benar-benar serius untuk menghadapi PRN.

“Kita pun dah dapat isyarat yang cukup baik dari keputusan PRU di Padang Serai. Kita yakin dan kita sangat memberi tumpuan terutamanya kepada pengundi muda yang dahagakan perubahan dan mahu memberi sokongan kepada PN berdasarkan hala tuju dan perjuangan yang dibawa,” jelasnya.

Berhubung kemungkinan Negeri Sembilan mengadakan PRN lebih awal, Eddin Syazlee menyerahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya lihat bagi negeri-negeri di bawah PN sangat optimis nak adakan lebih awal tetapi baru-baru ini Menteri Besar telah menyatakan kesediaan PH untuk bergabung dengan UMNO, di Negeri Sembilan juga mungkin hadapi PRN lebih awal,” katanya. – MalaysiaGazette