KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggerakkan Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut Red Team (MTL Red Team) sebagai persediaan menghadapi fenomena banjir di negeri ini.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, enam MTL Red Team yang ditempatkan di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Temerloh, Bentong dan Raub bagi membantu mangsa banjir.

Menurutnya, MTL Red Team di enam lokasi tersebut akan membantu lokaliti yang terjejas banjir di lokasi yang berhampiran mengikut keperluan.
“Misalnya pasukan yang ditempatkan di Pekan tidak hanya bertumpu di daerah Pekan sahaja tetapi mereka boleh bergerak ke daerah lain seperti Rompin atau kawasan Nenasi sekiranya diperlukan.
“Setiap pasukan dianggotai enam anggota yang dilengkapi peralatan dan kenderaan termasuk bot bagi operasi menyelamat.
“Setiap bot mampu memindahkan 12 orang dalam sesuatu masa dilengkapi jaket keselamatan dewasa dan kanak-kanak,” katanya ketika di temui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan pada Isnin ketika membuat pemeriksaan aset jabatan.
Tambahnya , walaupun keadaan banjir di negeri ini tidak begitu serius, namun pihak bomba bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan meskipun keadaan banjir di negeri ini masih terkawal dan tidak serius.
Justeru JBPM Pahang memastikan semua aset yang digunakan untuk operasi menyelamat berada dalam keadaan baik selain persediaan membabitkan aspek keanggotaan. – MalaysiaGazette
















