Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli bercakap pada sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Adam Adli Abd Halim menganggap tugasnya sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan  yang bermula hari ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh amanah dan berintegriti.

Beliau tidak boleh duduk senang dan memandang ringan tanggungjawab yang dipikul itu kerana menyedari tugas berat dan mencabar sedang menantinya.

Adam Adli mengakui gembira dengan pelantikan tersebut namun ada sedikit kerisauan dalam hati, bagaimana hendak memulakan tugasnya agar segalanya bermula dengan baik dan tidak mahu tersilap langkah.

“Saya gembira atas pelantikan ini (timbalan menteri) ketika itu saya sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil Harimau Malaya menentang Kemboja,  terkejut menerima berita saya dilantik sebagai Timbalan Menteri KBS…tetapi ada kerisauan juga disebalik keterujaan itu.

“Bagaimamapun, saya akan sentiasa berhati-hati dalam merancang dan mengetengahkan serta melaksanakan tugas ini bersama menteri saya (Hannah Yeoh) kerana tidak mahu tidak tersilap langkah.

“Saya anggap itu satu bentuk kepercayaan daripada pimpinan negara. Peranan sebagai timbalan menteri, perlu kita faham, jangan kita keliru,” katanya dalam sidang media di lobi Menara KBS hari ini.

Katanya sejak seminggu ini beliau telah melawat dan meninjau beberapa penganjuran sukan antaranya permotoran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan mengumpul seberapa banyak input tentang temasya penganjuran sukan yang sebelum ini terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sejak 2019 kita terkesan teruk akibat Covid-19 sekarang semua sektor sukan mula kembali aktif termasuk temasya penganjuran sukan antarabangsa, dan menjadi tanggungajwab KBS untuk memastikan kesemua aktiviti sukan terbesar kembali aktif dan memanfaatkan rakyat dan negara,” ujar beliau.

Beliau terdahulu tib ke KBS tepat jam 9.52 pagi sebelum mengimbas kad perakam waktu di mesin kehadiran sebagai simbolik memulakan tugasnya sebagai Timbalan Menteri KBS.

Adam menambah, beliau perlu memberi sokongan untuk kerja-kerja yang baik kepada Menteri (Hannah Yeoh) dalam melaksanakan tugas berkaitan dan memastikan pelaksanaan setiap program membawa keberhasilan yang diharapkan untuk anak muda.

“Semua gerak kerja yang akan diatur kelak perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan banyak pemegang taruh serta belasan kementerian.

“Kita ada banyak agensi dan saling bekerjasama dengan banyak kementerian. Tak rugi belajar dahulu tapi jangan (belajar) terlalu lama,” ujarnya.

Ditanya mengenai pemerkasaan golongan belia dalam segala sektor tanpa bersandarkan industri sukan sepenuhnya, Adam menyatakan ia akan menjadi antara fokus yang akan diteliti kelak.

Katanya, soal kebajikan para atlet dan belia juga menjadi agenda serius yang wajar diberi perhatian dan langkah penyelesaian sewajarnya.-MalaysiaGazette