Malaysia Timor-Leste
Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Dr. José Ramos-Horta di Seri Perdana, Putrajaya hari ini. (Gambar: Facebook Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memberi dukungan kepada Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut mengesahkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN mengenai pelan hala tuju keanggotaan Timor-Leste sebagai negara anggota pertubuhan serantau itu.

“Semoga hubungan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh menerusi pelbagai lapangan kerjasama,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau mengulas tentang kunjungan hormat Presiden Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta di Seri Perdana, Putrajaya tengah hari tadi.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Anwar menambah, melalui pertemuan itu, kedua-dua pihak berupaya menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta meneroka ruang kerjasama yang baharu.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar juga memaklumkan tentang pertemuannya dengan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pertemuan itu bagi membincangkan isu berkaitan aspek pembangunan dan kemakmuran Perlis.

“Semoga kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette