SID STAR
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah) diiringi Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo ketika membuat lawatan kerja ke Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2022.

SEPANG – Pelaksanaan inisiatif Laluan Pelepasan Standard (SID) dan Laluan Pendaratan Standard (STAR) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mulai 18 Mei tahun depan berupaya mengurangkan masa yang diambil oleh pesawat untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa ini, pesawat melakukan beberapa pusingan dan pergerakan sebelum mendarat satu persatu mengikut sistem giliran.

Menurut beliau, kaedah tersebut menyebabkan kapasiti KLIA yang mampu menampung sehingga 108 pendaratan dan pelepasan pesawat dalam masa sejam tidak dapat dioptimumkan.

“Dengan inisiatif SID dan STAR, masa untuk mendarat itu lebih pantas, mereka tak perlu tunggu giliran dengan panjang maka apa yang akan dicapai adalah penggunaan bahan bakar menurun, menjimatkan kos syarikat penerbangan.

“Dengan sistem ini dianggarkan boleh menjimatkan kos bahan bakar sebanyak RM500 juta setahun untuk syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CAAM, Tan Sri Khairul Adib Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo.

Anthony menambah, pelaksanaan inisiatif baharu itu juga dapat mengurangkan jarak yang diperlukan untuk mendarat antara 44 hingga 47 batu nautika bagi setiap pesawat.

Beliau memberitahu, selain penjimatan yang besar bagi syarikat penerbangan, insiatif tersebut dapat menyumbang kepada usaha menurunkan jejak karbon.

Bagi penumpang pula, katanya, jika sistem SID dan STAR dilaksanakan dengan baik, mereka boleh melihat perjalanan mereka menjadi lebih efektif dan lebih pantas.

“Pesawat boleh mendarat tepat pada waktu atau lebih cepat daripada yang dijadualkan maka tempoh penerbangan lebih pendek dan ini sudah tentu menggembirakan penumpang,” jelasnya.

Berhubung tempoh kira-kira enam bulan yang diambil untuk memulakan SID dan STAR, Anthony berkata, masa tersebut diperlukan untuk latihan semula, mengkonfigurasi sistem dan memaklumkan semua syarikat penerbangan.

“Juruterbang juga kena tahu dan perlu membiasakan diri mereka dengan laluan dan koordinat yang perlu diambil,” katanya. – MalaysiaGazette