Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta,  tiba di Malaysia pada Isnin untuk mengadakan lawatan khas.

Sempena lawatan itu, Presiden Ramos-Horta akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah secara peribadi kepada beliau di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Menurut satu kenyataan Wisma Putra pada Isnin, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor Leste serta meneroka ruang kerjasama baharu.

Ramos-Horta juga dijadual untuk mengadakan kunjungan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa lawatan itu.

Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan yang erat dan mesra, sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.

Malaysia merupakan negara pertama yang menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dalam kalangan negara-negara ASEAN yang menubuhkan Kedutaan di Dili pada 19 Mei 2002.

Malaysia aktif menyokong Timor-Leste dalam aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk para pegawai Timor-Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Menurut kenyataan itu, dari Januari hingga Oktober 2022, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste berjumlah US$ 84.6 juta dengan nilai eksport berjumlah US$ 62.8 juta dan nilai import sebanyak US$ 21.8 juta. – BERNAMA