Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS)  antara agenda utama yang ditangani oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.

Pengarahnya, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya menyediakan 95 pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) bagii menangani isu berkenaan.

Menurutnya, pasukan MHPSS telah memberikan sokongan psikososial kepada 243 mangsa banjir secara kumulatif sehingga kini.

“Bermula 7 Disember lalu sehingga kini, secara kumulatif terdapat 20 pasukan perubatan telah ditugaskan di semua PPS di Negeri Pahang seperti Daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut dan Bera.

“Sebanyak 18 pasukan kesihatan secara kumulatif ditugaskan melakukan pemantauan persekitaran, pencegahan dan kawalan penyakit di PPS.

“Antara aktiviti psikososial yang diberikan adalah releksasi, terapi seni dan psikopendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Azimi berkata, pihaknya telah menyediakan sebanyak 272 pasukan yang terdiri daripada 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan.

“Pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di PPS manakala pasukan kesihatan pula melakukan pencegahan,pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS,” katanya.

JKN Pahang juga menasihati orang ramai agar mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid) semasa bencana banjir.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti- aktiviti pembersihan banjir bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis, melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette