Ahmad Zakiyuddin (tengah) pada majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi kariah masjid di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Langgar etika pentadbiran selain calon yang dicadangkan tidak memenuhi syarat had umur ditetapkan.

Itu menjadi faktor beberapa pengerusi kariah masjid yang digugurkan semasa pemilihan calon jawatankuasa kariah penggal 2023 hingga 2025 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, antara pelanggaran etika termasuk tidak mahu bekerjasama dengan program anjuran JHEAIPP, tidak mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 serta membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian.

Menurut beliau, mereka yang terlibat juga didapati pernah menjemput penceramah yang tiada tauliah mengajar yang sah daripada MAINPP.

“Walaupun pernah ditegur beberapa kali sebelum ini, ada di antara mereka yang tidak mengendahkan arahan yang telah diberikan.

“Jadi pada pemilihan kali, kita telah membuat tapisan sebelum MAINPP membuat perlantikan dan memberi pentauliahan untuk jawatankuasa masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 2,955 orang kepimpinan kariah daripada 197 masjid di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zakiyuddin berkata, pemilihan calon jawatankuasa kariah dibuat bukan seperti pengundian pilihan raya.

“Senarai calon yang dikemukakan akan ditapis Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah untuk semakan awal sebelum dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Masjid & Hal Ehwal Kariah (JPMHEK) untuk saringan seterusnya.

“Polemik yang berlaku mungkin kerana mereka tidak faham apa peranan pemilihan dan mungkin mereka anggap orang yang dipilih akan terus dilantik,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Jangan suka hati gugur pengerusi kariah masjid – Pas P. Pinang

MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan, Pas Pulau Pinang membantah tindakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang didakwa bakal menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah masjid yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

Ketua Penerangan Pas negeri, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, ia susulan mereka yang terpilih ini telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah lima Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast