Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mempunyai perancangan berlandaskan pengalaman lampau sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang sedang melanda di beberapa negeri kali ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah telah menerima taklimat mengenai kesiapsiagaan PDRM dalam menghadapi banjir semasa lawatan kerja pertama mereka ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

“Persediaan menghadapi banjir adalah ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti biasa oleh PDRM yang berpandukan kepada pengalaman lepas.

“Dari sudut keterlibatan dalam mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS), saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bahawa terdapat lebih 800 PPS disediakan kali ini berbanding lebih 400 PPS pada musim monsun Timur Laut yang lalu.

“Oleh demikian, berdasarkan pengalaman yang lepas, mereka unjurkan keperluan logistik pusat pemindahan sementara yang kita anggap paling penting iaitu ‘point’ yang pertama selepas mangsa dikeluarkan,” kata beliau dalam sidang media di Bukit Aman tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian selepas selesai taklimat bersempena Lawatan Kerja yang bermula 9.50 pagi tadi sehingga 1.15 tengahari tadi berlangsung selama tiga jam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Tambah Saifuddin, persiapan PDRM turut mengambil kira keperluan mewujudkan PPS dengan jumlah yang munasabah.

“Misalnya di negeri Pantai Timur Kelantan, tumpuan kita sekarang adalah di Sungai Golok iaitu sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang yang sentiasa dilanda banjir teruk.

“Namun, berdasarkan pengalaman kami hadapi banji sebelum ini, selesai (banjir) di Rantau Panjang dengan Pasir Mas, air itu mesti sampai ke Tumpat.

“Maka, dari situ, kita boleh baca corak banjir setiap kali musim Monsun Timur Laut dan persiapan kita sekarang ini adalah menggerakkan anggota di kawasan itu tanpa mengabaikan tempat lain.

“Bot penyelamat pacuan empat roda dengan lori antara aset-aset PDRM yang telah dikerah untuk membantu kerja kerja memindahkan mangsa banjir nanti,” ujar beliau lagi.

Ditanya mengenai jaminan untuk menjaga harta benda mangsa banjir yang meninggalkan kediaman ke PPS daripada dicuri, tegas Saifuddin, PDRM akan menjalankan tugas hakiki mereka menjaga harta benda penduduk yang berpindah ke PPS, selain operasi penyelamatan. – MalaysiaGazette