Lima individu termasuk dua pegawai Imigresen yang bersubahat dengan sindiket seludup PATI melalui klia2 ditumpaskan JIM pada 9 Disember lalu. - Gambar ihsan JIM Putrajaya.

KUALA LUMPUR  – Satu sindiket penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kali ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud berkata, sindiket berkenaan digempur menerusi satu operasi yang dijalankan pada 9 Disember lalu.

Operasi berkenaan dijalankan oleh sepasukan pegawai  Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya bertindak daripada hasil maklumat awam ekoran terdapat PATI yang telah disenaraihitam akan dibawa masuk semula ke negara ini.

“Dalam operasi tersebut, seramai lima orang individu berumur antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan di klia2  terdiri daripada dua wanita Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen.

“Turut ditahan ialah dua orang pegawai JIM yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut secara haram ke dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima individu termasuk dua pegawai Imigresen yang menjadi dalang sindiket seludup PATI  melalui klia2 ditumpaskan JIM pada 9 Disember lalu. – Gambar ihsan JIM Putrajaya.

Tambah Khairul Dzaimee lagi, modus operandi sindiket itu adalah ejen mereka akan mengatur kemasukan PATI yang telah disenaraihitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai Imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan dengan upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kepala.

Ujar beliau, PATI itu kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi masing-masing untuk tujuan bekerja secara tidak sah manakala kemasukan mereka juga tidak direkodkan di dalam sistem JIM.

“Kesemua PATI tersebut telah ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat dibawah akta yang sama manakala seorang ejen dan dua pegawai imigresen yang terlibat pula ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Manakala dua orang pegawai Imigresen yang terlibat dalam sindiket ini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut.

“JIM akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkrompomi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JIM sendiri serta mana-mana orang yang didapati melanggar kesalahan imigresen akan diambil tindakan yang tegas,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast