KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 41,548 tan metrik pada Oktober 2022 menurun 23.8 peratus berbanding September 2022 (54,542 tan metrik).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 billion pada Oktober 2022, menurun 13.2 peratus berbanding September 2022 (RM1.3 billion).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 56.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2022 diikuti Jerman (8.2%), Brazil (3.3%), Finland (3.2%) dan Iran (3.0%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bulan Oktober turut menyaksikan penurunan pengeluaran getah asli 10.3 peratus pada bulan Oktober 2022 (31,795 tan metrik) berbanding pada bulan September 2022 (35,460 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 26.3 peratus (Oktober 2021: 43,127 tan metrik).

Beliau menambah, pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.8%)
berbanding sektor estet (12.2%).

Jumlah stok getah asli pada Oktober 2022 menurun 0.3 peratus kepada 198,122 tan metrik berbanding 198,706 tan metrik pada September 2022.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.1%) dan estet getah (0.1%).

Mohd Uzir berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 billion pada Oktober 2022, menurun 13.2 peratus berbanding September 2022 (RM1.3 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 2.2 peratus (Oktober 2022: 466.42 sen sekilogram,
September 2022: 476.76 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 1.2 peratus (Oktober 2022: 471.29 sen sekilogram, September 2022: 465.86 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) menurun antara 0.6 hingga 2.1 peratus. World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing menurun 2.6 peratus (daripada USD1.32/kg kepada AS$1.29/kg) dan meningkat 1.1 peratus (daripada AS$1.48/kg kepada AS$1.50/kg). – MalaysiaGazette