Mechamato Movie

KUALA LUMPUR – Selepas enam hari ditayangkan di pawagam, filem animasi 3D “Mechamato Movie” berjaya meraih kutipan RM10 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak menerusi kenyataan meluahkan rasa syukur dengan sambutan yang memberangsangkan itu.

“Alhamdullilah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini telah berjaya mengutip RM10 juta dalam masa enam hari pertama tayangannya di 150 pawagam seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya mendapat banyak maklum balas yang sangat baik.

“Saingan seterusnya mungkin agak sengit dengan kehadiran filem antarabangsa.

“Namun kami percaya dengan kualiti penghasilan, jalan cerita dan keunikan seni warisan dan budaya Malaysia, sudah pasti Mechamato Movie mampu bersaing,” ujarnya.

Tayangan akan diteruskan lagi sepanjang cuti sekolah dan kemunculan Mechamato di Pahang, Terengganu dan Sabah pada hujung minggu ini. -MalaysiaGazette