KUALA LUMPUR – Pendiriaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) didakwa bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parliman Damansara Gobind Singh Deo berkata, PH mengakui Sosma bermasalah dan perlu ditangani.
Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar sendiri pernah menyatakan bahawa Sosma perlu dipinda dan ditambah baik.
“Walaupun kita menerima bahawa terdapat keperluan untuk undang-undang untuk menangani keselamatan negara, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Sosma bersifat menindas.
Malah pada Oktober 2019, Anwar sendiri dilaporkan berkata bahawa bahagian tertentu Sosma perlu dipinda dan ditambah baik untuk manfaat semua pihak, kerana undang-undang itu telah dianggap “terlalu keras”,” kata Gobind.
Beliau mengulas kenyataan Saifuddin bahawa KDN tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma.
Gobind menegaskan, titik permulaan akta tersebut bersifat menindas adalah Seksyen 4 yang membenarkan seseorang ditahan untuk tempoh sehingga 28 hari sekali gus membenarkan penahanan tanpa akses ke mahkamah.
Katanya, dalam tempoh berkenaan tidak berlaku semak dan imbang kuasa pihak berkuasa.
Ia membolehkan penderaan bukan sahaja dalam hal tangkapan yang salah tetapi juga semasa penyiasatan yang tidak boleh dibenarkan.
“Seharusnya ada proses yang membolehkan seseorang yang ditahan masuk ke mahkamah pada masa itu.
“Inilah sebabnya kami dalam PH mengundi menentang usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri sebelum ini untuk melanjutkan seksyen 4(5) SOSMA di Parlimen pada 23 Mac 2022,” tegas Gobind.
Selanjutnya menurut beliau, Seksyen 13 berkaitan ikat jamin juga menafikan hak tertuduh.
Menurut beliau, seksyen itu menyatakan jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang telah didakwa atas kesalahan keselamatan dan mengehadkan jaminan kepada keadaan yang ketat di bawah Subseksyen 2 untuk kes tertentu.
“Terdapat kebimbangan mengenai perlembagaan peruntukan ini kerana ia menyekat kuasa mahkamah dalam memberikan jaminan.
“Peruntukan ini perlu dikaji semula serta apa yang dilakukannya adalah untuk memperuntukkan penahanan berterusan seseorang sementara menunggu perbicaraan walaupun fakta kes tidak akan menyokong keperluan penahanan praperbicaraan sedemikian,” katanya.
Gobind berkata, beberapa lagi seksyen dalam akta itu perlu dipinda bagi menghapuskan penindasan terhadap orang yang ditahan.
Menurutnya, apabila berhadapan dengan perundangan yang bersifat menindas perbincangan mesti diadakan dan pandangan diambil bergerak ke hadapan selaras dengan desakan kita untuk pembaharuan.
Saifuddin sebelum ini mempertahankan Sosma sebagai akta yang membenarkan proses perbicaraan di mahkamah berlaku.
Kata Saifuddin, Sosma tidak seperti akta lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.-MalaysiaGazette