Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 14 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, ketua-ketua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan telah memberi komitmen untuk memberikan undi percaya kepada beliau sebagai perdana menteri pada hari pertama Sidang Khas Parlimen pada 19 Disember ini.

Justeru beliau yakin akan dapat meneruskan pentadbiran kerajaan dengan baik menerusi majoriti dua pertiga yang dimiliki dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Ketua-ketua parti PH (Pakatan Harapan, BN (Barisan Nasional), GPS (Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) Warisan dan beberapa parti telah beri komitmen dan Insya-Allah kita akan teruskan dengan baik dan minta doakannya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau diminta mengulas mengenai keyakinan untuk mendapat usul undi percaya dengan majoriti dua pertiga menjelang Sidang Khas Parlimen pada Isnin ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan perdana menteri.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Ketika ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Usul undi percaya terhadap kepimpinan perdana menteri akan menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November berkata, satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Disember bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

Sidang Parlimen itu menjadi sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kepimpinan Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast