Seoarang pengawal keselamatan berkawal di bangunan Telekom Malaysia Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mencadangkan penyusunan semula di peringkat dalaman yang melibatkan pemindahan perniagaannya di Malaysia kepada entiti operasi tunggal yang dinamakan sebagai TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya penyusunan semula itu dijangka selesai pada 31 Dis 2023.

TM berkata 11 anak syarikat yang terlibat ialah Cybermall Sdn Bhd, Mobikom Sdn Bhd, Telekom Applied Business Sdn Bhd, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Telekom Multi-Media Sdn Bhd, Telekom Sales and Services Sdn Bhd, Telekom Technology Sdn Bhd, TM Info-Media Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, VADS Bhd, dan VADS Lyfe Sdn Bhd.

Menurutnya, di bawah perjanjian penggabungan bersyarat itu, semua aset dan liabiliti dikenal pasti akan dipindahkan dan diberikan hak kepada TM Tech berkuat kuasa pada dan mulai 1 Mac 2023, atau tarikh yang mungkin dipersetujui bersama oleh pemindah dan TM Tech serta seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

TM berkata, sebagai sebahagian daripada cadangan penyusunan semula dalaman itu, pemindah terpilih akan dibubarkan pada 31 Dis 2023 melainkan TM dan VADS yang tidak akan dibubarkan.

Menurutnya, harga belian perlu dibayar untuk pemindahan dan pemberian hak bagi aset dan liabiliti dikenal pasti oleh pemindah kepada TM Tech adalah jumlah nilai buku bagi aset yang dikenal pasti ditolak dengan jumlah nilai buku bagi liabiliti yang dikenal pasti ketika perniagaan pemindah ditutup pada hari terakhir perniagaan sebelum tarikh pemberian hak.

TM dalam satu kenyataan berkata penyusunan semula itu yang melibatkan Unifi, TM One dan TM Wholesale, antara lain menandakan fasa seterusnya transformasi kumpulan untuk tampil sebagai pengupaya digital Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan operasi, memperkemas proses serta memudahkan titik sentuh pelanggan untuk pengalaman yang lebih lancar.

“Penggabungan pelbagai perniagaan di bawah TM Tech akan mengukuhkan lagi kepimpinan konvergen mudah alih tetap TM, menawarkan jalur lebar tetap bersepadu, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital dan penyelesaian inovatif kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Imri Mokhtar, memandangkan gaya hidup digital, persaingan yang meningkat dan jangkaan pihak berkepentingan akan menambah baik industri, justeru, penggabungan perniagaan ini kepada satu entiti operasi akan membolehkan TM menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelbagai segmen pelanggan serta menyediakan keperluan pelanggan dengan lebih cepat.

“Menyatukan kesalinghubungan dan tawaran digital kami juga akan membolehkan kami memilih gabungan penyelesaian yang sesuai untuk memenuhi keperluan unik gaya hidup individu dan perniagaan.

“Selain itu, penyusunan semula ini meletakkan kami kepada amalan terbaik industri dan akan meningkatkan kelebihan daya saing TM dalam kalangan syarikat telekomunikasi Malaysia dan antarabangsa serta peserta digital berikutan kami terus memburu aspirasi untuk muncul sebagai syarikat teknologi berpaksikan manusia,” katanya.

Menurut TM, menerusi TM Tech, pelanggan akan terus menikmati kesalinghubungan dan kandungan digital semua dalam satu yang terpantas dan meluas manakala perusahaan dan sektor awam akan menerima manfaat daripada penyelesaian pintar dan digital TM termasuk pusat data dan awan, keselamatan siber serta tawaran industri pintar.

Entiti pengoperasian ini juga akan terus memperjuangkan usaha pembangunan negara TM dalam memperluas dan memodenkan rangkaian fiber negara, pusat data dan sistem kabel dasar laut, katanya.

TM Tech akan diketuai oleh pasukan pengurusan kanan TM yang sedia ada dan akan menghimpunkan pelbagai bakat di bawah satu syarikat, mendorong ketangkasan yang lebih baik dan kerjasama merentas fungsi untuk menambah baik kualiti perkhidmatan.

“Kakitangan TM akan kekal sebagai enjin pelaksanaan bagi TM dan transformasi digital negara. Walaupun tenaga kerja kami akan disusun semula kepada entiti operasi tunggal ini, peranan pekerja, kelayakan dan manfaat yang diberikan adalah tidak berubah,” kata Imri.

TM berkata semua perjanjian perkongsian, vendor dan perkhidmatan TM akan kekal seperti biasa

“Kini, Telekom Malaysia Bhd akan berfungsi sebagai syarikat pemegang pelaburan bagi entiti operasi ini dengan semua anak syarikat dalam kumpulan akan kekal status quo (dalam kedudukan asal).

“Di luar pertumbuhan TM, penyusunan semula ini mengukuhkan lagi peranan kami untuk meningkatkan transformasi digital negara dan memberikan perkhidmatan lebih kukuh kepada pelanggan.

“Walaupun ia menandakan kejayaan penting baharu dalam transformasi kami yang berterusan, kami akan tetap berpegang teguh kepada matlamat untuk membolehkan keterangkuman digital, peluang dan kemajuan untuk semua,” katanya. – BERNAMA