Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin bersama Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad pada Majlis Apresiasi dan Serah Tugas Jawatan Menteri Pendidikan di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA –  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan menambah bilangan universiti awam kerana jumlahnya kini sudah mencukupi.

Namun, menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan akan memperkasakan kepimpinan universiti awam di seluruh negara supaya bergerak di landasan yang betul.

“Kita akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kepimpinan universiti dan memastikan universiti bergerak mengikut landasan memenuhi visi dan misi.

“Kita ada 20 universiti awam yang kita kategorikan universiti penyelidikan, komprehensif dan sebagainya. Semuanya kita harap dapat berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis  Apresiasi dan Serah Tugas Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut hadir, mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagaimanapun Khaled berkata, KPT tidak akan menghalang penubuhan universiti swasta baharu dalam negara ini.

“Kita mengakui dan mengiktiraf peranannya yang sangat penting kita tahu bahawa kalau kita nak menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan kita perlu menjadikan Malaysia tumpuan untuk belajar di peringkat tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar antarabangsa. Tapi universiti awam tidak boleh menampung semua pelajar antarabangsa kerana kita menghadkan penyertaan mereka jadi yang mainkan peranan ini adalah universiti-universiti swasta,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, katanya, universiti awam dan swasta perlu bergerak seiring agar maju dan seiring dalam melahirkan graduan yang berdaya saing.

Sementara itu, Khaled memaklumkan bakal menyampaikan amanat berkaitan hala tujunya dalam KPT.

“Kita bukan sahaja melihat kepada universiti awam, swasta juga kepada politeknik, kolej komuniti, kita juga akan lihat isu-isu yang dihadapi pelajar, soal kebolehpasaran graduan, pembiayaan pelajar, bagaimana menyediakan mereka sebagai insan yang dikehendaki dalam abad ke-21.

“Kita juga akan pastikan bagaimana sektor pendidikan tinggi dapat menjayakan negara yang ekonominya sepatutnya berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya lagi,

Terdahulu Khaled dalam ucapannya memberi jaminan akan meneruskan inisiatif dan program yang diusahakan oleh Noraini khususnya memberikan manfaat kepada mahasiswa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast