Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komuditi Malaysia (IMPAC) ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Sektor agrikomoditi menyumbang pendapatan RM160.6 bilion sehingga suku ketiga tahun 2022 yang menyaksikan penurunan kepada lebih RM29 bilion.

Menurut Timbalan Perdana Menteri II yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, sektor yang merangkumi perladangan seperti sawit, getah, perkayuan, koko, lada, kenaf dan tembakau itu merupakan komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.

“Sektor agrikomoditi ini telah menyumbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM61.3 bilion sehingga suku ketiga tahun 2022 manakala jumlah eksport adalah sebanyak RM160.6 bilion.

“Ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 1 juta rakyat Malaysia khususnya di segmen huluan. Dalam kata lain, sektor agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat tempatan,” katanya dalam ucapan merasmikan Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Untuk rekod, pendapatan eksport agrikomoditi negara dianggarkan berjumlah RM189.8 bilion, setakat November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan penurunan jumlah eksport komoditi antaranya ketiadaan pekerja asing.

“Yang penting kita mengambil langkah dan beberapa perkara yang perlu kita telitikan malah minggu depan saya akan berjumpa dengan semua pemain industri.

“Kita nak melihat keseluruhan rantaian bekalan kita termasuk eksport dan bekalan. Kita bergantung banyak kepada pekerja asing dan bila golongan ini kurang maka akan terkesan dengan hasil kita kerana pekerja tidak ada.

“Ini akan menjejaskan eksport kita dan kesusahan ini yang kita nak kenalpasti dan kita akan berunding dengan kementerian terlibat samada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar bagaimana kita nak strategikkan supaya kita dapat melihat kepada pengeluaran dalaman kita dan eksport kita dan hasil hiliran,” katanya dalam sidang media selepas konvensyen tersebut.

Justeru itu, Fadillah berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemain industri bagi mengenalpasti cabaran yang dihadapi mereka pasca pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, kerajaan sedar pergantungan yang berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan khususnya kepada sektor sawit untuk jangka masa panjang.

“Sehingga 30 September 2022, dilaporkan sejumlah 150,608 pekerja asing kini bekerja di sektor perladangan.

“Oleh itu, ,kerajaan amat menggalakkan pemain industri termasuklah pekebun kecil agar dapat meningkatkan tahap penggunaan jentera di ladang-ladang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette