Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengutamakan isu untuk mendepani masalah ekonomi terlebih dahulu daripada memberikan ruang kepada isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurut menterinya, Fadhlina Sidek, ini kerana tumpuan kepada cabaran ekonomi merupakan salah satu faktor utama yang akan difokuskan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Isu utama kerajaan Perpaduan pada hari ini akan menumpukan kepada cabaran ekonomi dan kos sara hidup. Apa-apa isu yang terkait rapat yang sedang dibangkitkan seperti UEC dan sebagainya kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali.

Pada 26 November lalu, Dong Zong menggesa kerajaan Perpaduan mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, biar pun UEC ada dinyatakan dalam manifesto namun perkara itu akan turut diteliti semula kerana kerajaan yang dibentuk adalah merupakan Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan lihat (manifesto mengenai UEC) kerana ini adalah kerajaan Perpaduan dan kita tidak lagi bercakap mengenai manifesto kerajaan atau pun PH semata-mata.

“Manifesto ini  juga kita akan lihat dari masa ke semasa mengikut keperluan dan keutamaan semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette