LIPIS – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Kilometer 8, Jalan Sungai Koyan- Raub dalam kemalangan kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, lori tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Kluang, Johor menuju ke Cameron Hinglands dekat sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan melanggar pokok sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat rempuhan tersebut, lori terbabit dilaporkan remuk di keseluruhan bahagian hadapan.
Pemandu lori jenis Isuzu itu, S. Tharvin, 23, disahkan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis.
Bagaimanapun, Azli berkata, kelindannya, R. Ravichanran, 23, dilaporkan mengalami patah kaki kiri dan menerima rawatan lanjut di Hospital Lipis.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu gagal memgawal lori sehingga menyebabkan kemalangan,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mangsa akan dibedah siasat segera oleh Hospital Lipis selepas saringan Covid-19.- MalaysiaGazette