GENEVA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap wabak Covid -19 tidak lagi menjadi kecemasan kesihatan global pada tahun depan.
Berucap pada taklimat akhbar di Geneva, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Jawatankuasa Kecemasan Covid-19 WHO akan membincangkan bulan depan kriteria untuk mengisytiharkan penamatan kecemasan pandemik itu.
“Kami berharap pada satu ketika tahun depan, kami akan dapat mengatakan bahawa Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global,” katanya.
Beliau menambah, bagaimanapun, virus SARS-CoV-2, penyebab di sebalik pandemik Covid-19, tidak akan hilang.
“Ia kekal, dan semua negara perlu belajar menguruskannya bersama-sama penyakit pernafasan lain termasuk influenza dan RSV (Respiratory Syncytial Virus), yang kedua-duanya kini merebak di banyak negara,” katanya.
Ketua WHO itu berkata, salah satu pengajaran paling penting daripada wabak itu ialah semua negara perlu memperkukuh sistem kesihatan awam masing-masing untuk bersiap sedia, mencegah, mengesan dan bertindak balas dengan pantas terhadap wabak.
Satu lagi pengajaran penting ialah keperluan untuk bekerjasama, bukannya persaingan dan kekeliruan yang menandakan tindak balas global terhadap Covid-19.
Sementara itu, Maria Van Kerkhove, Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, memberi amaran gelombang jangkitan semula akan berterusan di seluruh dunia kerana jumlah kematian baharu mingguan yang dilaporkan oleh negara-negara masih berlegar antara 8,000 hingga 10,000.
Mike Ryan, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, memberi amaran bahawa dunia masih tidak tahu bagaimana virus SARS-CoV-2 akan berkembang pada masa hadapan, dan ketidakpastian sedemikian menambah risiko. – Agensi