Kewujudan medan selera mengundang rasa tidak puas hati penduduk Taman Kepong kerana mengundang kesesakan jalan raya dan bising di kawasan mereka.

KUALA LUMPUR – Lebih 30 penduduk di Taman Kepong dekat sini membantah pembinaan sebuah medan selera di kawasan mereka.

Wakil penduduk, Teh Aun Yang berkata, sebelum ini tapak berkenaan memuatkan sebuah gerai makanan yang diusahakan seorang warga emas sejak beberapa tahun lalu.

Namun beliau mendakwa tapak itu milik sebuah agensi kerajaan itu tidak sesuai dijadikan kawasan medan selera.

“Pertamanya, kewujudan medan selera ini akan menimbulkan kesesakan jalan raya apatah lagi kedudukannya berhampiran kediaman penduduk.

“Selain itu, sudah pasti sisa buangan akan disalurkan ke longkang dan akan menyebabkan suasana sekitar menjadi kotor serta berbau.

Kerja membersih tapak untuk projek pembinaan medan selera yang mendapat bantahan penduduk Taman Kepong.

“Oleh itu, kami bercadang membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Aun Yang mempersoalkan bagaimana gerai seperti itu boleh diluluskan sedangkan sebelum ini sudah dirobohkan.

“Saya difahamkan ada pegawai DBKL datang melawat tetapi pembinaan tetap diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung masalah itu kerana bimbang ada unsur penyalahgunaan kuasa.

Aun Yang juga minta jasa baik Datuk Bandar DBKL untuk melihat perkara itu kerana struktur seperti itu tidak sepatutnya dibina di kawasan kediaman.

“Bukan sahaja tidak selesa, ia pasti akan menimbulkan masalah lain pula,” katanya. – MalaysiaGazette