HULU SELANGOR – Seramai 53 mangsa telah diselamatkan  setakat jam 11 pagi tadi manakala 25 lagi yang dipercayai masih tertimbus masih dicari akibat kejadian tanah runtuh tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata sembilan orang setakat ini disahkan maut termasuk kanak kanak berusia lima tahun.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat telah membawa Unit Pengesan Anjing K9 ke lokasi tanah runtuh untuk mengesan baki  mangsa yang disyaki masih tertimbus di bawah runtuhan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Suffian, seramai 394 anggota mencari dan menyelamat sari 15 agensi sedang terlibat dalam membantu misi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Tambah beliau, kejadian itu menjejaskan tiga lokasi iaitu Riverhilltop, Farmview dan Riverside di Father Organic Farm yang dikendalikan satu operator.

“Siastan awal polis juga menunjukkan pengunjung telah hadir ke tapak perkhemahan pada Rabu lalu iaitu tiga hari lepas untuk aktiviti berkempen di tempat kejadian ini dan kesemuanya 94 mangsa terlibat.

“Setakat ini, 53 mangsa berjaya dikeluarkan dan mereka selamat manakala tujuh yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Sama ada syarikat pengoperasi memiliki kelulusan atau tidak masih dalam siasatan polis, katanya.

Pemerhatian di lokasi mendapati tiga jentolak telah masuk ke lokasi kejadian untuk meneruskan misi pencarian mangsa tertimbus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail antara turun memantau di lokasi kejadian bermula 10.30 pagi tadi.- MalaysiaGazette