SUNGAI BULOH – Ibu, Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman yang menjadi salah seorang korban tragedi tanah runtuh di Batang Kali awal Jumaat lalu kelihatan tenang sejurus keluar daripada Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh.
Bagaimanapun, Siti Esah Hassan, 53, tidak mengulas panjang sebaliknya hanya berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya pada Rabu lalu.
“Bila kali terakhir mak cik jumpa arwah?”
“Rabu,” ringkas beliau menjawab pertanyaan wartawan.
Terdahulu, Nurul Azwani yang bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dilaporkan mengikut rombongan perkhemahan sekolah itu sejak Rabu lalu.
Nurul Azwani antara enam mangsa tragedi tanah runtuh yang identitnya telah dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini.
Beliau juga antara 24 yang telah terkorban akibat tragedi tanah runtuh berkenaan.
Sementara itu, ibu Allahyarham memaklumkan anak perempuannya itu akan dikebumikan di Taman Selaseh, Gombak pada malam ini. – MalaysiaGazette