Zool Amali UMNO
Zool Amali Hussin menyerahkan borang keahlian Pas kepada Rafiei Mustapha di Kampung Rawa Lenggeng, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 17 DISEMBER 2022.

SEREMBAN – Kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang didakwa mempermain-mainkan suara akar umbi menjadi punca yang mendorong bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin membuat keputusan meninggalkan parti itu.

Dalam sidang media di Kampung Rawa, Lenggeng di sini hari ini, beliau turut mengumumkan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Pas.

Zool Amali turut menyuarakan kekesalan terhadap situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di mana suara akar umbi yang menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO.

Beliau juga mendakwa berasa tertipu dan hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana apa yang berlaku ketika ini bercanggah dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Akar umbi rasa sedih dah kecewa saya yakin ramai yang menentang dan ingin keluar tetapi mereka telah dimomokkan dengan naratif penubuhan kerajaan.

“Sampai bila ahli-ahli UMNO akan diperkudakan oleh kepimpinan di atas semata-mata untuk kepentingan diri sendiri?” katanya.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha; Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Badrul Hisham Shaharin dan penyanyi popular era 1990-an, Dayangku Intan.

Pada sidang media itu, Zool Amali turut menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Pas kepada Rafiei.

Ketika ditanya mengapa memilih Pas dan bukannya Bersatu, beliau menjelaskan, minat terhadap parti itu timbul semasa bersama dalam Muafakat Nasional (MN) dahulu.

“Waktu dalam MN dahulu ada ukhuwah dengan Pas, kawan-kawan saya ramai dalam Pas, jadi saya ingat biarlah saya berada dalam Pas,” ujarnya.

Zool Amali yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban sejak 2018 menafikan beliau dijanjikan jawatan atau bakal menjadi calon Pas pada pilihan raya akan datang.

“Saya tak minta jawatan pun, masuk secara sukarela dan mahu membantu kemenangan Pas dalam pilihan raya,” jelasnya.

Beliau yakin tindakannya itu akan mencetuskan ‘tsunami Jebat’ yang menyebabkan lebih ramai ahli UMNO khususnya di Seremban menyertai Pas.

“Saya tahu ramai orang UMNO kecam saya, tanya apa jasa saya. Biarlah Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Jom ramai2 akar umbi umno berikan kemenangan padu kpd PN dlm pilihanraya negeri2 tak lama lagi, kpd pemimpin2 PN bekerja kuatlah dari sekarang. Banyak isu2 yg boleh memenangi hati rakyat.

  2. Orang UMNO akan terus menolak BN selagi Presiden tidak mendengar suara akar umbi.Terang-terang masa PAU no Anwar no PH no Bersatu, tetapi tidak pula menyebut no PAS no PN. Jadi seharusnya UMNO boleh menyokong PN.

Comments are closed.