Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar beramah mesra dengan warga Ceupacs selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tahunan CEUPACS ke-29 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan Kerajaan Perpaduan akan sentiasa memberikan keutamaan kepada penjawat awam di negara ini.

Komitmen itu, kata Sivakumar mencerminkan bahawa penjawat awam merupakan tunjang utama dalam memantapkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan kepada rakyat.

“Kerajaan tidak pernah melupakan kebajikan anggota perkhidmatan awam dan dalam masa yang sama Kerajaan mahu melihat penjawat awam meningkatkan produktiviti serta integriti dalam mencapai negara maju 2025.

“Justeru itu, Kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan terutama daripada pemimpin-pemimpin utama CUEPACS,” katanya dalam ucapan merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke 29, pagi tadi.

Mengiringi Sivakumar adalah Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Sivakumar turut berkata, Kerajaan Perpaduan amat berpuas hati dengan pendirian yang diberikan kepimpinan CUEPACS dalam menjamin hubungan harmoni dengan Putrajaya.

“Sokongan dan sikap keprihatinan CUEPACS terhadap kerajaan pada masa sekarang dengan tidak membuat tuntutan yang keterlaluan amat dihargai,” katanya lagi.

Justeru itu, Sivakumar berkata CUEPACS harus terus caknya dan mula melipat-gandakan peranan dalam mendepani alaf baharu yng semakin mencabar.

Katanya, CUEPACS bukan sahaja perlu memperjuangkan isu-isu penjawat awam tetapi perlu bersama-sama kerajaan untuk terus memantapkan pengurusan dan pentadbiran dalam perkhidmatan awam.

“CUEPACS yang mewakili anggota perkhidmatan awam mestilah bertindak seiring dengan Wawasan Negara dan kerajaan supaya kualiti, produktiviti serta integriti perkhidmatan di kementerian, jabatan dan agensi akan dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” tegas Sivakumar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast