HULU SELANGOR – Sukarelawan dilarang memasuki lokasi tanah runtuh serta tidak dibenarkan membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi SAR di lokasi tanah runtuh Batang Kali itu hanya dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM).
“Selepas ini mana-mana sukarelawan tidak dibenarkan sama sekali berada dalam lokasi dan membantu bomba dalam mengesan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan tanah.
“Hanya JBPM yang mempunyai kuasa dan akan menentukan pihak atau agensi yag boleh terlibat dan membantu mereka dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tanah runtuh hari ini.
Menurut Acryl Sani, lokasi tersebut tidak sesuai untuk orang awam tampil menghulurkan bantuan kerana faktor keselamatan dan mengelak pelan operasi SAR terganggu.
Setakat ini 24 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi semalam. Identiti enam daripada mangsa yang maut telah pun dikenal pasti dan jasad mereka dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan. – MalaysiaGazette