KUALA LUMPUR – Sistem Tangki Septik Individu (IST) dan Tangki Septik Komunal (CST) yang menjadi tempat pembuangan sisa kumbahan perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan alam sekitar terpelihara dan bagi mengelak penyakit bawaan air.
Tangki septik adalah satu jenis sistem pembetungan yang terdiri daripada satu atau lebih petak bahagian yang menyediakan rawatan kumbahan. Tangki septik hanya menyediakan sebahagian atau separa rawatan kumbahan sahaja yang mengalir ke dalamnya dan perlu dikosongkan secara berjadual bagi memastikan ianya berfungsi dengan efisien.
Menurut Ketua Unit Perniagaan Nyahenap Cemar Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Pauzi Mohamed, sisa buangan bawaan air yang dikenali sebagai kumbahan (sewage) adalah gabungan ‘sludge’ (pepejal yang mendap di bahagian bawah tangki septik yang dikenali sebagai enapcemar) dan ‘scum’ (lapisan kotoran terapung yang terbentuk dipermukaan atas).
Beliau berkata, apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel atau sisa kumbahan tersebut akan memenuhi setiap ruang tangki septik dan akhirnya mengeras sehingga menyebabkan sistem pembetungan tersebut tersumbat.
“Apabila perkara ini berlaku, kerja-kerja nyahenap cemar (desludge) menjadi sukar, memakan masa dan menelan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi. Tambahan pula, kumbahan yang berlebihan akan melimpahi longkang dan memasuki perairan dan alam sekitar tanpa dirawat,” tambah Pauzi.
Pengguna harus mengetahui bahawa tangki septik tersebut adalah tempat penyimpanan sisa kumbahan yang bersifat sementara.
Proses rawatan yang dilakukan di dalam tangki tersebut tidak akan berkesan apabila tangki penuh.
“Jika tangki septik tidak dikosongkan, partikel yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang di dalam tangki, yang kemudiannya akan mengeras dan sukar apabila hendak dikosongkan atau nyahenap cemar,” kata Pauzi.
Tegasnya, tangki yang penuh dan tidak dikosongkan akan menyebabkan air kumbahan yang memasuki di ruang tangki septik hanya lalu sahaja tanpa berlakunya proses rawatan yang terus mengalir keluar ke dalam longkang, parit, tasik, sungai dan sebagainya yang mana akhirnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Sehubungan itu, adalah amat penting untuk pengguna mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan tangki berfungsi dengan lebih efisien.
“Masyarakat juga harus sedar sisa kumbahan perlu dilupuskan dengan cara yang selamat untuk mengelak berlakunya penyebaran penyakit bawaan air yang berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan,” jelasnya.
Menyedari risiko pencemaran sumber air yang berpunca daripada tangki septik, Kerajaan juga telah telah mewartakan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) pada Mac tahun lepas.
Peraturan ini mewajibkan penyelenggaraan dan pengosongan tangki septik secara berkala kepada semua pemilik atau pengguna tangki septik.
Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuatkuasa Mac 2021 menetapkan bahawa pemilik atau penghuni mestilah bertanggungjawab memastikan tangki septik diselenggara dengan baik.
IWK telah dipertanggungjawabkan untuk menghantar notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada kira-kira 1.3 juta pemilik tangki septik di Semenanjung Malaysia secara berperingkat mulai bulan Julai 2021.
Walau bagaimanapun, masih ramai pengguna yang tidak mengambil berat atau mengendahkan notis penjadualan nyahenap cemar yang dihantar.
“Maklumbalas dari pengguna amatlah penting untuk memastikan tangki septik dapat diselenggarakan secara berkala tepat pada waktunya.
“Menurut warta Kerajaan Persekutuan mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK telah melakukan kesalahan,” katanya.
Di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] pemilik apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.-Malaysia Gazette