Gambar ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM)

KUANTAN – Seramai 36 individu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia di Dong, Raub hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub berkata, sebanyak 12 keluarga terkesan selepas air naik mendadak di kawasan kediaman mereka sekitar jam 1 pagi.

“Berlaku kejadian banjir kilat membabitkan Kampung Kuala Gali, Sungai Kerap Dong di mana PPS Dewan Serbaguna Kampung Ria terpaksa dibuka pada jam 2 pagi,” kata menerusi kenyataan.

Difahamkan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Raub membantu memindahkan mangsa ke PPS tersebut dan menjalankan kerja-kerja pemantauan paras air sungai sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, hanya satu PPS dibuka di Pahang selepas PPS Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan yang menempatkan 141 mangsa banjir ditutup semalam.

Bagaimanapun, berdasarkan info yang dikongsi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), terdapat satu kawasan dengan paras air sungai pada tahap bahaya hari ini iaitu di Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin.

Manakala empat sungai lagi di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Triang, Bera berada pada paras waspada.

Met Malaysia juga meramalkan hujan sepanjang hari hampir di semua 11 daerah di negeri ini esok beserta ribut petir di kebanyakan daerah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast