Datuk Johari Abdul. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, berkuatkuasa serta merta.

Johari yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah, dalam satu rakaman video berkata, beliau telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat berkenaan perkara tersebut dan surat tersebut disah diterima pada 13 Disember lalu.

“Dalam surat itu saya memaklumkan kepada Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi DUN Gurun yang diwakili berkuatkuasa serta-merta.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” kata Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani.

Pada 8 Disember lalu Johari mengesahkan beliau merupakan antara calon yang tersenarai sebagai Speaker Dewan Rakyat yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH)

Sementara itu, Johari mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan pengundi Gurun.

“Anda telah memberikan kerjasama luar biasa dan kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun. Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik ini akan berkekalan dalam memakmurkan serta membangunkan Kedah,” ujarnya. – MalaysiaGazette